BERITA SEMASA

Fokus solidariti, doakan keselamatan peserta misi Global Sumud Flotilla – Menteri Agama

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyeru rakyat Malaysia supaya memberi tumpuan kepada usaha solidariti dan mendoakan keselamatan peserta yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Beliau berkata, misi kemanusiaan tersebut merupakan usaha sejagat yang menghimpunkan penyertaan masyarakat antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin yang sedang berdepan penderitaan berpanjangan.

“Saya melihat perkara ini dan ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar fokus kepada usaha bersolidariti.

“Mereka kini sedang melaksanakan misi tersebut dan kita doakan agar semuanya selamat serta misi itu berjaya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan penyertaan golongan wanita Muslimah di dalam misi berkenaan.

Menurut beliau, penyertaan rakyat Malaysia dalam misi berkenaan adalah sesuatu yang membanggakan dan mencerminkan keprihatinan negara terhadap isu kemanusiaan sejagat.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT dan berharap segala urusan mereka dipermudahkan.

“Misi ini bersifat sejagat kerana disertai oleh ramai peserta dari seluruh dunia dan kita berbangga dengan penglibatan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dr Zulkifli turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama mendoakan agar semua peserta selamat sepanjang perjalanan pergi dan pulang, selain berharap misi tersebut mencapai kejayaan yang diharapkan.

Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan, fokus utama, menurutnya, adalah sokongan moral dan doa agar usaha kemanusiaan itu berjalan lancar.

BACA JUGA:

Antara pahala dan fitnah: Wanita perlu patuh syarak sertai misi SUMUD 2.0

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Prof Madya Dr Azmil Zainal Abidin menegaskan, penglibatan wanita Muslimah dalam misi kemanusiaan seperti GSF 2.0 adalah diharuskan menurut syarak, namun perlu mematuhi beberapa garis panduan penting termasuk aspek keselamatan, pemeliharaan maruah serta keutamaan tanggungjawab terhadap keluarga.

Menurut beliau, Islam tidak menghalang penyertaan wanita dalam aktiviti kebajikan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, malah usaha tersebut wajar dipuji sebagai manifestasi keprihatinan umat Islam.

Bagaimanapun, idealisme murni itu wajar diimbangi dengan panduan syarak tanpa terdedah kepada pintu fitnah dari sudut yang lain.

Misi GSF 2.0 merupakan inisiatif kemanusiaan antarabangsa dengan penglibatan 80 buah kapal dan lebih 1,000 peserta dari hampir 100 negara yang bertujuan menzahirkan solidariti serta menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button