Subsidi RM100 sehari tampung kos atlet, SUKMA 2026 lebih berhemat
SUNGAI PETANI – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor bakal dilaksanakan dengan pendekatan lebih berhemat apabila setiap atlet diberikan subsidi RM100 sehari bagi menampung kos penginapan dan perbelanjaan berkaitan sepanjang temasya berlangsung.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pemberian subsidi harian itu menggantikan penyediaan perkampungan sukan yang tidak akan diwujudkan pada edisi kali ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikannya, termasuk penetapan venue pertandingan yang kini telah dimuktamadkan.
“Tiada perkampungan sukan kali ini, jadi setiap atlet akan diberikan subsidi RM100. Kita mengecilkan skala dan melakukan penjimatan, namun ia tidak menjejaskan kualiti atlet, sukan serta penganjuran,” katanya memetik laporan Sinar Harian ketika menghadiri Jamuan Raya Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu bertujuan mengurangkan kos keseluruhan penganjuran tanpa menjejaskan kelancaran temasya, dengan urusan penginapan atlet akan diuruskan oleh negeri dan majlis sukan masing-masing.
Dalam pada itu, senarai penuh acara yang akan dipertandingkan masih dalam proses pemuktamadan dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, dilaporkan SUKMA 2026 akan dianjurkan pada skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan susulan krisis tenaga global serta ketidaktentuan ekonomi dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















