Jenayah & Mahkamah

Penunggang motosikal rempuh JPJ didenda RM5,000

PORT DICKSON – Penunggang motosikal merempuh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga cedera ketika sekatan jalan raya (SJR), Ahad lalu dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25 dan turut memerintahkan penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda, memetika laporan Buletin TV3

Mengikut pertuduhan, Nor Khairul didakwa dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, dari menjalankan fungsi amnya dalam operasi pasukannya.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 September 2023, kira-kira jam 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang hamil, selain telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal pula mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan bagi memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Beliau juga memohon mahkamah mengambil kira kecederaan dialami anggota JPJ terbabit.

Sebelum ini, JPJ dalam kenyataannya berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, namun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button