BERITA SEMASA

Dron JPJ rakam lebih 2,300 kesalahan jalan raya

KOTA BHARU – Teknologi dron digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuahkan hasil apabila sebanyak 2,384 kesalahan lalu lintas berjaya dirakam dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 bermula 16 Mac lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, empat kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan ialah memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan atau dari sebelah kiri serta menggunakan lorong kecemasan.

Menurutnya, kesalahan paling tinggi direkodkan ialah memotong di garisan berkembar sebanyak 715 kes, diikuti tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong barisan atau dari sebelah kiri (539 kes) dan menggunakan lorong kecemasan (503 kes).

“Kesalahan paling banyak dikesan di kawasan Lembah Klang, Kelantan dan Selangor.

“JPJ akan mengeluarkan notis temu siasat kepada semua pesalah yang dirakam. Bagi mereka yang mengaku bersalah dan menjelaskan bayaran dalam tempoh 15 hari, kompaun akan dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada RM150.

“Sekiranya bayaran dibuat selepas tempoh tersebut, kompaun boleh meningkat sehingga RM300,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Khas Motosikal sempena HRA 2026 di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penggunaan dron berteknologi tinggi itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan khususnya di lokasi hotspot.

Katanya, dron berkenaan dilengkapi keupayaan zum sehingga 200 kali, sekali gus membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas walaupun dari jarak jauh, selain setiap rakaman dijadikan bahan bukti bagi tindakan lanjut.

“Pendekatan ini membolehkan pemantauan trafik dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tepat dan berkesan, termasuk mengesan kesalahan yang sukar dikesan melalui pemantauan konvensional di darat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button