Kerajaan kuatkuasa larangan menyeluruh penjualan RON95 untuk kenderaan asing mulai 1 April
PUTRAJAYA – Kerajaan akan menguatkuasakan larangan lebih menyeluruh terhadap penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026.
Larangan itu termasuk mengenakan tindakan ke atas pemandu dan pemilik kenderaan yang melanggar peraturan tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.
Menurut beliau, peluasan penguatkuasaan tersebut kini turut merangkumi pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing yang didapati membeli atau menggunakan petrol bersubsidi berkenaan.
“Peluasan ini adalah pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini kesalahan hanya diletakkan kepada pengusaha stesen minyak.
“Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan susulan pembentangan di Parlimen pada 29 Januari lalu, selaras usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi bahan api.
Dalam pada itu, penguatkuasaan akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu), khususnya di kawasan sempadan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku aktiviti penyeludupan.
Armizan turut mengingatkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna kenderaan asing agar mematuhi larangan tersebut.
Tegasnya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket atau pengusaha yang terlibat dalam penyelewengan subsidi bahan api dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan bahan api.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















