BERITA SEMASA

Kerajaan tambah bengkel berlesen pemasangan peranti had kelajuan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menambah bilangan bengkel berlesen bagi memudahkan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) dalam kalangan pemilik kenderaan berat di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem berkenaan yang diwajibkan sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, setakat ini hanya sekitar 20 peratus kenderaan berat telah dipasang dengan peranti tersebut.

“Kita faham untuk mereka memasang dan mengesahkan pemasangan SLD ini memerlukan lebih banyak rangkaian bengkel.

“Sebab itu kita akan menambah dan mengemas kini senarai bengkel yang boleh melakukan pemasangan bagi memudahkan pemilik kenderaan berat,” katanya pada sidang media pengumuman garis panduan kenderaan de-controlled dan pikap bagi tujuan membawa barangan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Dalam pada itu, Anthony berkata pihak industri juga digesa memberi perhatian serius terhadap arahan kerajaan berhubung pemasangan peranti had kelajuan tersebut.

Menurutnya, beberapa syarikat pengeluar turut memohon tambahan masa bagi membantu proses pemasangan serta pengesahan peranti berkenaan.

Sebelum itu, media melaporkan sebanyak 4,295 notis pengesahan pemasangan SLD telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat setakat Oktober tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button