BERITA SEMASA

Cucu maut selepas kereta dipandu nenek terbabit kemalangan

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas kereta dipandu neneknya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di Kilometer 8.4 Jalan Kota Tinggi–Kluang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Perodua Alza.

Menurutnya, Perodua Myvi tersebut dipandu seorang wanita berusia 50 tahun bersama dua penumpang iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

“Perodua Alza pula dipandu seorang wanita berusia 61 tahun bersama cucu lelakinya yang berusia lapan tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Temenin menghala ke Kota Tinggi sebelum Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Alza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak yang duduk di bahagian penumpang belakang Perodua Alza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi dan mayatnya dihantar untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.

Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button