BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mangsa banjir di utara Sabah meningkat kepada 3,685 orang, 18 PPS beroperasi

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah utara Sabah terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 2,479 orang daripada 1,185 keluarga pada pukul 4 pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, 18 PPS kini beroperasi bagi menempatkan mangsa yang terjejas di daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan.

Menurut kenyataan pihak berkenaan, sebanyak 47 kampung terjejas akibat banjir iaitu 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu dan lima di Paitan.

Di Kota Marudu, jumlah mangsa meningkat dengan ketara kepada 1,978 orang daripada 925 keluarga, berbanding 290 orang daripada 90 keluarga pada petang semalam, dengan kesemua mangsa kini ditempatkan di empat PPS.

Di Pitas pula, 1,515 orang daripada 593 keluarga terpaksa berpindah ke lapan PPS berikutan banjir, manakala di Paitan, seramai 192 orang daripada 75 keluarga berlindung di enam PPS.

Ketiga-tiga daerah ini dilanda banjir sejak pukul 6 pagi semalam akibat hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan pedalaman Sabah akan terus mengalami hujan pada sebelah pagi, dengan potensi ribut petir pada sebelah petang dan malam.

Susulan itu, pihak berkuasa negeri menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button