BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu 40 peratus hasil Sabah: Tiada rayuan, rundingan dimulakan segera – AGC

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebanyak 40 peratus hasil, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini bagi membincangkan penghakiman mahkamah tersebut dalam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

Menurut AGC, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil dan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, AGC menjelaskan bahawa pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberi nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah itu.

Antara isu dibangkitkan ialah dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan, iaitu dakwaan yang merangkumi tindakan sejak tahun 1974.

Selain itu, alasan penghakiman turut menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, mempunyai ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

Sehubungan itu, menurut kenyataan AGC, Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button