BERITA SEMASA

Tidak rayu keputusan mahkamah isyarat PM fahami harapan, aspirasi rakyat Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU – Keputusan Putrajaya untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkait 40 peratus hasil dari Sabah menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami harapan dan aspirasi rakyat negeri itu.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu mencerminkan komitmen tulen Perdana Menteri untuk menegakkan hak negeri yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan tidak meneruskan rayuan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, hari ini.

Justeru, kerajaan persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera, menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button