BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

TPM arah tindakan segera perkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan pelaksanaan segera langkah tegas dan bersasar bagi memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera susulan tekanan ketidaktentuan global akibat konflik geopolitik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, konflik berlarutan di Asia Barat memberi tekanan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia melalui ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik yang menekan inflasi.

“Lebih membimbangkan, usahawan Bumiputera kini berdepan peningkatan kos operasi serta cabaran aliran tunai yang semakin ketara,” katanya dalam kenyataa.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan tiga tindakan utama dilaksanakan secara tegas, pantas dan bersasar.

Katanya, tindakan pertama melibatkan penilaian segera dan menyeluruh oleh semua agensi mandat Bumiputera terhadap impak merentasi sektor kritikal seperti makanan dan agro, pembinaan serta logistik.

“Tindakan kedua ialah intervensi bersasar dan berimpak tinggi melalui pengukuhan sokongan termasuk pembiayaan fleksibel, insentif kos, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penggunaan sumber domestik bagi mengurangkan kebergantungan luar,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan ketiga menekankan pelaksanaan tegas dan berakauntabiliti tanpa sebarang kelewatan, dengan pemantauan rapi serta pelaporan berkala oleh setiap agensi terlibat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan melangkaui pendekatan jangka pendek dengan memberi tumpuan kepada strategi jangka sederhana dan panjang menerusi pendigitalan, pengukuhan keusahawanan generasi muda, perluasan akses pembiayaan serta penerokaan pasaran baharu.

Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan penyelarasan lebih berkesan antara kementerian, agensi, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak serta tidak bertindan.

“Cabaran semasa perlu dilihat sebagai titik perubahan untuk membina ekonomi Bumiputera yang lebih mandiri, kukuh dan kompetitif.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan, institusi, industri dan pemain ekonomi agar bergerak sebagai satu pasukan dalam memperkukuh asas dalaman negara supaya lebih berdaya tahan serta berkeupayaan mencipta nilai sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button