SUKAN

TMJ rela ‘dipersalahkan’ namun tetap pertahan 7 pemain warisan digantung FIFA

SUBANG JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda rela dipersalahkan berhubung isu tujuh pemain warisan yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya itu mampu menenangkan peminat bola sepak negara ini.

Bagaimanapun baginda mengaku bertanggungjawab dan akan mempertahankan kesemua pemain berkenaan.

“Kalau peminat bola sepak kebangsaan boleh tidur lena dengan menyalahkan saya, silakan.

“Saya di sini kerana majoriti peminat bola sepak hendak saya berada di sini,” titah baginda pada sidang media di Hotel Dorsett Subang, di sini hari ini.

Bagaimanapun baginda menegaskan, semua pemain tersebut tetap perlu diberi penghormatan atas pengorbanan mereka mewakili negara.

“Dokumen mereka legit dan diiktiraf kerajaan (Jabatan Pendaftaran Negara-JPN). Takkan kita nak surrender, takkan nak tunduk.

“Tak adil jika kita tinggalkan mereka begitu sahaja. Mereka juga telah bersungguh-sungguh beraksi untuk menyumbang mata.

“Mereka adalah soldiers. We should not leave them behind,” tegas baginda.

Pada sidang media tersebut, Tunku Ismail memberitahu, baginda hadir untuk menjelaskan kronologi sebenar dan memberi gambaran menyeluruh tentang isu berkenaan.

Baginda juga mengakui akan membantu FAM dan jika khidmatnya diperlukan kerana kecintaannya kepada bola sepak tanah air.

“Kita di sini bukan nak menuding jari kepada mana-mana pihak. Macam yang saya kata, jikalau peminat bola sepak boleh tidur lena pada waktu malam untuk menyalahkan, saya terima,” titah baginda lagi.

Terdahulu, FAM serta tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button