SUKAN

Harimau Malaya sedia gempur Laos – Cklamovski

VIENTIANE – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski yakin skuad kendaliannya kini berada pada tahap terbaik menjelang aksi penting menentang Laos dalam saingan kelayakan Piala Asia malam esok.

Beliau berkata, semua pemain menunjukkan disiplin tinggi sepanjang sesi latihan dan kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran getir di gelanggang lawan.

“Kami tiba di Laos dengan perjalanan yang baik dan segalanya berjalan lancar. Latihan semalam amat memuaskan dan sambutan daripada pihak hotel serta kakitangan padang sangat mesra dan membantu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Cklamovski, fokus utama pasukan ketika ini ialah memastikan segala persiapan diterjemahkan kepada persembahan berkualiti dan keputusan positif di atas padang.

“Kami mempunyai satu lagi sesi latihan penting di stadium malam ini dan fokus kami ialah menukar persiapan itu kepada aksi mantap serta kemenangan pada perlawanan esok,” katanya lagi.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut menegaskan bahawa skuad Harimau Malaya menghormati kemampuan Laos, namun kekal yakin terhadap potensi dan kekuatan pasukan sendiri.

“Kami menghormati Laos sebagai lawan yang kuat, tetapi keutamaan kami ialah membina corak permainan sendiri. Kami mahu mengekalkan ‘clean sheet’, bekerja keras secara berpasukan dan pada masa sama mencari peluang untuk menjaringkan gol,” jelasnya lagi.

Sementara itu, kapten pasukan, Dion Cools berkata, semua pemain kini berada pada tahap kesediaan tertinggi dan bertekad memberikan persembahan terbaik demi negara.

“Kami telah melakukan latihan dan perbincangan pasukan dengan baik. Semua pemain, termasuk saya, sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik.

“Kami mahu bermain dengan kualiti dan mendapatkan keputusan positif bagi memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya Piala Asia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Cklamovski enggan mengulas lanjut mengenai laporan FIFA yang mendakwa beberapa pemain tidak lahir di Malaysia seperti dilaporkan baru-baru ini.

“Perkara itu di luar kawalan kami. Kami tidak mahu terganggu dengan isu di luar padang. Fokus kami sepenuhnya kepada latihan, persiapan dan prestasi dalam perlawanan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat juang pemain kekal tinggi dengan misi memberikan inspirasi kepada penyokong tanah air.

“Kami mahu rakyat Malaysia berasa bangga dengan cara kami bermain. Kami mahu memberi inspirasi, harapan dan keyakinan bahawa Harimau Malaya mampu mencapai sesuatu yang istimewa,” katanya lagi.

Perlawanan menentang Laos malam esok dilihat penting dalam usaha Malaysia mengukuhkan kedudukan dan memburu tiket ke Piala Asia akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button