POLITIK

Tindakan UMNO N9 langkah awal tolak PH – Ahmad Fadhli

CYBERJAYA – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan mengisytihar hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan satu langkah awal menolak Pakatan Harapan (PH).

Pandangan tersebut dikongsi Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Tahniah UMNO Negeri Sembilan memulakan langkah penyatuan tolak PH!” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Menurut Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Yang Empat mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Sebelum itu, Aminuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong supaya menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.

Berikutan krisis tersebut, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button