Pesara rugi RM132,590 ditipu pelaburan forex tidak wujud
TELUK INTAN – Seorang pesara berusia 73 tahun mengalami kerugian RM132,590 selepas terpedaya dengan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asistan Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
Beliau berkata, mangsa mula menyertai skim berkenaan pada 4 Julai 2026 selepas diperkenalkan oleh seorang kenalan.
“Mangsa membuat pelaburan secara berperingkat selama kira-kira dua bulan sehingga mencecah RM132,590, termasuk wang hasil jualan rumah miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa menyedari dirinya dipercayai ditipu apabila sistem pelaburan itu tidak lagi dapat diakses pada 14 September lalu.
Mangsa juga tidak menerima sebarang keuntungan atau pemulangan modal seperti dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Kok Lian berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam penipuan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







