Pensyarah rugi RM115,600, jadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan tidak wujud
BATU PAHAT – Seorang pensyarah sebuah universiti awam (UA) berputih mata apabila kerugian RM115,600 selepas diperdaya sindiket pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa yang merupakan lelaki berusia 44 tahun, tertarik dengan kerja sambilan ditawarkan kepadanya pada 7 Mei lalu.
Beliau berkata, mangsa yang ditawarkan kerja, terpengaruh dengan tawaran keuntungan tinggi iaitu sebanyak 15 peratus.
“Namun, suspek meletakkan syarat dengan mangsa diminta mendaftar dan membeli barangan melalui laman sesawang yang diberikan terlebih dahulu.
“Selepas membeli barangan, baharulah mangsa akan menerima keuntungan seperti mana dijanjikan suspek,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Shahrulanuar lagi, bermula pada tarikh itu sehingga 30 September lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam enam akaun berbeza secara berperingkat.
Jelasnya, sebaik memasukkan wang seperti diminta, mangsa mendapati laman sesawang diberikan suspek sudah tidak boleh diakses.
“Pada masa sama, mangsa tidak menerima pulangan wang seperti mana dijanjikan dan ketika itu, barulah mangsa menyedari dia telah ditipu.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, Khamis lalu untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








