Tiga rumah rosak di Bukit Mertajam, polis siasat unsur dendam hutang
BUKIT MERTAJAM – Tiga buah rumah di Taman Serumpun di sini mengalami kerosakan di bahagian siling dan halaman dipercayai akibat letupan mercun dalam satu kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 1.05 pagi yang terdengar bunyi letupan kuat.
“Hasil siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun yang dibaling ke dalam salah sebuah rumah, menyebabkan kerosakan pada kediaman tersebut serta dua rumah bersebelahan.
“Antara kerosakan yang dilaporkan termasuk siling, halaman dan kenderaan yang diparkir di hadapan rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah beliau, motif kejadian disyaki berpunca daripada isu hutang.
Dua individu menaiki sebuah kereta dipercayai terlibat dalam insiden itu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, polis meminta saksi awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








