BERITA SEMASA

Tiga lelaki ditahan kes tetak di pusat beli-belah Seremban

SEREMBAN – Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes tetak seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Bandar Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 47 tahun itu diberkas dalam satu operasi sekitar Port Dickson kira-kira pukul 5 petang, kelmarin.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah kekerasan dan kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan selepas tahap kecederaan mangsa disahkan sebagai parah oleh pihak perubatan. Sebelum ini, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas permohonan reman diluluskan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 40 tahun cedera parah selepas ditetak dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di pusat beli-belah berkenaan.

Rakaman insiden itu yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki bersenjatakan parang menetak mangsa secara terbuka di lokasi awam.

Mohamad Hatta berkata, siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berpunca daripada unsur dendam berkaitan aktiviti gangsterisme.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button