JENAYAH & MAHKAMAH

Tetak kenalan guna parang hingga cacat kekal, buruh didakwa

BUTTERWORTH – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang kenalannya menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dikhuatiri cacat kekal.

Tertuduh, J. Tanabalan, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun menggunakan sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4 pagi pada 25 Mei lalu di Blok C, Flat Ampang Jajar, dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Tanabalan memohon jaminan rendah dengan alasan bekerja sebagai buruh, selain perlu menanggung isteri yang bekerja di kilang serta tiga anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes, penyerahan laporan perubatan serta lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua tangan, kecederaan pada kaki kanan dan retak di kepala sehingga dikhuatiri mengalami kecacatan kekal.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada salah faham antara mangsa dan tertuduh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button