JENAYAH & MAHKAMAH

Terpedaya tawaran perniagaan palsu, pesara kerugian RM212,000

KOTA TINGGI – Gara-gara terpedaya dengan peluang perniagaan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp, seorang pesara kerugian RM212,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa yang berusia 60 tahun membuat membuat laporan polis semalam selepas tidak menerima pulangan lumayan yang dijanjikan sejak 19 Disember lalu.

Menurut beliau, suspek menawarkan penjualan barangan dengan harga murah kepada mangsa, sebelum barangan itu perlu dijual semula dengan harga lebih tinggi menerusi satu aplikasi yang disediakan suspek.

“Antara barangan yang dijual membabitkan barangan elektrik, komputer, pakaian dan lain-lain.

“Mangsa tertarik dengan tawaran kerana dijanjikan pulangan lumayan daripada pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank bagi tujuan pembelian barangan berkenaan.

“Selepas gagal menghubungi suspek kerana nombor telefon yang digunakan disekat, barulah mangsa menyedari dirinya ditipu.

“Siasatan awal mendapati mangsa kerugian RM212,000 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button