Terpedaya pelaburan kripto, ahli perniagaan rugi RM1.25 juta
IPOH – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian RM1.25 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto yang menawarkan pulangan lumayan, namun akhirnya gagal memulangkan modal serta keuntungan yang dijanjikan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa mula diperkenalkan kepada skim pelaburan itu sekitar Januari 2025 oleh beberapa individu yang menawarkan peluang melabur dalam mata wang kripto dengan jaminan keuntungan tinggi.
Menurut beliau, bagi meyakinkan mangsa, suspek mengadakan beberapa sesi penerangan sebelum ahli perniagaan terbabit bersetuju menyertai pelaburan tersebut.
“Dalam tempoh antara 28 Mac hingga 17 April 2025, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan aset digital ke dompet digital yang diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, mangsa bukan sahaja gagal memperoleh keuntungan seperti dijanjikan, malah tidak dapat mengeluarkan semula modal pelaburannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata, selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis pada 10 Julai lalu.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap mana-mana tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau pulangan tetap yang tidak munasabah.
Katanya, bakal pelabur juga perlu membuat semakan terhadap latar belakang syarikat, platform dan individu yang menawarkan pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Orang ramai turut disaran mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan serta mengelakkan pemindahan wang atau aset digital kepada individu atau akaun yang kesahihannya tidak dapat dipastikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







