Hospital Selayang laksana lima pemindahan buah pinggang dalam tempoh 72 jam
KUALA LUMPUR – Hospital Selayang berjaya melaksanakan lima pembedahan pemindahan buah pinggang dalam tempoh kurang 72 jam, sekali gus memberi sinar baharu kepada pesakit yang menunggu peluang untuk meneruskan kehidupan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan itu merupakan hasil dedikasi Pasukan Pemindahan Organ (Transplant Team) hospital berkenaan serta pengorbanan penderma organ dan waris yang bersetuju menunaikan hasrat murni tersebut.
Beliau berkata, setiap ikrar pendermaan organ bukan sekadar satu keputusan, sebaliknya membawa harapan baharu kepada pesakit yang menanti peluang kedua untuk hidup.
“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan kepada para penderma organ dan waris keluarga atas pengorbanan yang tiada galang gantinya.
“Hakikatnya, setiap ikrar pendermaan organ adalah satu harapan baharu untuk menyelamatkan nyawa. Ia merupakan ‘Gift of Life’ yang menyambung nafas pesakit yang sekian lama menanti keajaiban,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyeru individu yang telah berikrar sebagai penderma organ supaya memaklumkan hasrat tersebut kepada ahli keluarga masing-masing.
Menurutnya, persetujuan waris memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat pendermaan organ dapat direalisasikan.
“Kepada semua pengikrar penderma organ, sampaikanlah pesanan ini kepada ahli keluarga anda, ‘Warisku, Hormati Ikrarku’. Peranan waris amat kritikal dalam menunaikan hasrat terakhir anda demi memberikan kehidupan kedua kepada insan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas Hospital Selayang yang terbabit dalam menjayakan siri pembedahan berkenaan termasuk pakar bedah urologi, pasukan anestesiologi, radiologi intervensi, penyelaras pemindahan organ, ahli farmasi serta jururawat dewan bedah.
Beliau berkata, dedikasi warga kesihatan itu jelas terpancar apabila seorang jururawat dewan bedah tetap menyatakan kesediaan untuk meneruskan tugas walaupun keletihan selepas beberapa pembedahan.
“Saya dimaklumkan apabila ditanya sama ada masih bersedia sekiranya terdapat lagi pembedahan yang perlu dilakukan, jururawat itu hanya tersenyum dan menjawab, ‘We are ok, can still do.’
“Tiada keluhan, sebaliknya hanya semangat dan komitmen luar biasa untuk memastikan pesakit End-Stage Kidney Disease (ESKD) menerima rawatan terbaik,” katanya.
Menurut beliau, semangat pengorbanan dan nilai ihsan yang dipamerkan warga Hospital Selayang mencerminkan komitmen tinggi Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Terima kasih kepada semua wira kesihatan negara di Hospital Selayang atas dedikasi dan pengorbanan yang amat bermakna ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








