BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kes TB meningkat namun terkawal, Ramadan bukan punca – Menteri

KUALA SELANGOR – Peningkatan kes tuberkulosis (TB) yang direkodkan sejak kebelakangan ini masih berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan malah bekalan ubat-ubatan di pasaran adalah mencukupi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana bulan Ramadan bukan penyumbang kepada penularan penyakit berjangkit berkenaan.

Beliau menegaskan, TB merupakan penyakit bawaan udara, namun kadar jangkitan tidak setinggi Covid-19 dan situasi semasa terus dipantau rapi oleh kementerian bagi memastikan kawalan berkesan dapat dilaksanakan.

“Ramadan bukan punca penularan TB. Apa yang penting ialah langkah pencegahan perlu dipertingkatkan, khususnya apabila berada di kawasan tertutup dan sesak.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan perlu segera menjalani pemeriksaan kesihatan, lebih-lebih lagi jika berada di ruang sempit atau kurang pengudaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan premis berada dalam keadaan baik serta memakai pelitup muka sekiranya bergejala.

Orang ramai juga digesa mengurangkan perbualan berpanjangan di kawasan tertutup bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Mengulas isu keselamatan makanan sepanjang Ramadan, beliau memaklumkan setakat ini hanya satu aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang melibatkan isu kebersihan dan makanan basi.

Katanya, pemantauan keselamatan makanan akan diperluaskan ke seluruh negara dengan penglibatan Jabatan Kesihatan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pasukan penguat kuasa.

Tegas beliau, peniaga tidak seharusnya berkompromi dalam aspek kebersihan semata-mata untuk meraih keuntungan.

Katanya, tindakan tegas termasuk kompaun atau penutupan premis boleh dikenakan di bawah peruntukan Akta Makanan sekiranya didapati melanggar peraturan, demi memastikan keselamatan pengguna terjamin sepanjang Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button