BERITA SEMASA

Tiada kluster baharu, kes tibi menurun kepada 65 kes

KOTA BHARU – Situasi penyakit Tuberkulosis (tibi) di negara ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila tiada kluster baharu direkodkan, manakala jumlah kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ketujuh tahun ini menurun berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 417 kes dilaporkan pada minggu berkenaan berbanding 482 kes dalam tempoh sama pada 2025, iaitu penurunan sebanyak 65 kes.

Menurut beliau, trend penurunan itu mencerminkan keberkesanan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, tiada kluster baharu dilaporkan dan jumlah kes juga menurun. Kita berharap penurunan kes tibi ini akan terus konsisten,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sempena Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan walaupun jumlah kes menunjukkan penurunan.

Tambahnya, usaha memperluas saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera akan terus diperkasa bagi memastikan penularan penyakit itu dapat dikawal secara berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button