BERITA SEMASA

KKM tunggu kelulusan pengambilan tanah bina Klinik Kesihatan Puncak Alam

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu kelulusan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor mengenai permohonan pengambilan tanah bagi pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Puncak Alam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah itu telah dikemukakan kepada JKPTG, 28 April lalu.

Menurutnya, permohonan itu membabitkan kawasan di Alam Suria, Puncak Alam yang ketika ini menempatkan deretan lot kedai.

“Kita akan membuat pengambilan tanah di situ dan selepas proses selesai, hak milik kawasan berkenaan akan menjadi milik KKM,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Dewan Komuniti Fasa 3, Bandar Puncak Alam, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kawasan yang dikenal pasti itu melibatkan 11 lot dan bakal menempatkan Klinik Kesihatan Tahap 3 bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat di Puncak Alam.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan awal sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja permulaan projek berkenaan.

“Bagi kerja awalan, kerajaan sudah meluluskan RM5 juta manakala kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM50 juta atau lebih,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya proses kelulusan dan pengambilan tanah berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada 2027.

Menurut Dr Dzulkefly, KKM juga akan mengadakan pertemuan khas dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mempercepatkan proses berkaitan.

“Semua pihak pada dasarnya sudah bersetuju untuk menyerahkan kawasan berkenaan kepada KKM dan kita berharap proses kelulusan dapat disegerakan.

“Apabila proses pengambilan tanah selesai, projek ini boleh diteruskan mengikut perancangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button