Najib Asaddok kongsi kisah kejatuhan, bangkit semula selepas ‘sujud’
KOTA BHARU – Usahawan dan jurulatih perniagaan, Najib Asaddok yang popular pada zaman permulaan pemasaran media sosial, tampil berkongsi pengalaman kejatuhan yang menyebabkan beliau lama menyepi.
Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Najib berkata kejatuhan dalam dunia perniagaan selepas lama berada di puncak bukanlah noktah sebaliknya hanyalah detik ‘koma’ sebelum bangkit semula.
Namun beliau mengakui kekuatan untuk bangkit semula bukanlah sesuatu yang mudah selepas kehilangan segalanya termasuk wang simpanan, maruah dan keyakinan diri.
“Aku pernah jatuh. Jatuh yang sampai buat aku tak tahu nak mula dari mana. Bisnes jatuh dan kena tukar bisnes. Duit habis. Team hilang. Masa tu, setiap pagi aku bangun bukan dengan semangat tapi dengan beban.
“Sakitnya bukan sebab hilang duit je. Tapi sebab aku rasa gagal sebagai suami, ayah dan seorang leader,” luahnya.
Namun selepas mentelaah semula ke belakang, beliau mula sedar bahawa kejatuhannya berpunca daripada kegagalannya sendiri mengurus perniagaan dengan betul.
Antara puncanya adalah pengabaian pada aliran tunai syarikat, membayar komisyen yang terlalu tinggi sehingga syarikat terbeban walhal pendapatan tidak lagi boleh menampung kos operasi.
“Aku pula jenis tak sampai hati nak potong. Semua nak diberi, semua nak bantu. Tapi dalam masa yang sama, aku sendiri makin tercekik.
“Pembelian kereta mewah tanpa pulangan jelas menjadi simbol keangkuhan yang akhirnya memakan diri,” jelasnya.
Selepas menyedari kesilapannya itu, Najib mengakui kesedaran dan keinsafan mula datang dari titik paling dalam selepas menyerahkan segala yang berlaku kepada Allah.
“Titik perubahan bukan datang dari luar ia bermula dari sejadah. Bangun malam, menangis dalam gelap, sujud dalam ketulusan. Waktu tu aku tanya diri sendiri: ‘Aku nak ke mana sebenarnya?,” luah pempengaruh yang memiliki 1.4 juta pengikut di Facebook itu.
Najib kemudian mengambil langkah-langkah drastik untuk mengatur semula langkah dengan memotong gaji sendiri, menjual aset tidak diperlukan, mengecilkan pasukan kerja dan bermula semula dari bawah.
Beliau memulakan langkah baharu di platform TikTok dengan memilih hanya satu produk untuk dipasarkan iaitu produk MommyHana.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk tiada jualan, live tidak menjadi dan pasukan yang hilang semangat dia tidak pernah berputus asa.
“Sokongan daripada mentor, ibu bapa dan isteri yang tidak pernah goyah menjadi tulang belakang kebangkitan sehingga berjaya mencatat pendapatan melebihi tujuh angka sebulan,” katanya.
Bagi usahawan ini, setiap luka dan air mata menjadi pelita. Doa yang tulus, kerja keras yang senyap dan keberanian mengaku setiap kesalahan membuka jalan keluar dari kegelapan.
Dalam hantaran yang dikongsi lebih 1,500 kali itu, Najib menasihatkan semua mengambil pengajaran daripada kisah hidupnya bahawa hidup ini bukan semuanya tentang duit atau populariti tetapi tentang keikhlasan menerima kelemahan dan keberanian untuk bangkit semula, walau seorang diri.
“Dan mungkin, satu hari nanti saat kau berjaya kau juga akan berkata: Alhamdulillah, aku tak putus asa waktu tu,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






