AGAMAGAYA HIDUPRENCANA

14 tahun tanpa suami di sisi, Norfazila berjaya raih ijazah tertinggi

KETIKA kebanyakan wanita seusianya sedang menikmati awal kehidupan berkeluarga, Dr Norfazila Ghazali berdepan ujian terbesar dalam hidupnya.

Wanita itu diuji dengan kehilangan suami tercinta akibat kemalangan jalan raya, 14 tahun lalu.

Saat itu anak perempuannya, Nur Aina Balqis baru mencecah usia 10 bulan dan pastinya masih memerlukan kasih sayang seorang lelaki bernama ayah.

Dr Norfazila
Pada usia 40 tahun, Norfazila berjaya meraih PhD yang diimpikan sejak zaman remaja.

Bagaimanapun, Norfazila tidak pernah mengalah. Meskipun kehilangan belahan jiwanya pada usia yang masih muda, dia nekad membesarkan cinta hati mereka.

Meninggalkan segala kenangan di Perak selepas menetap di sana selama dua tahun, Norfazila mengambil keputusan besar apabila berhijrah ke Kelantan pada tahun 2012 dan memulakan hidup baharu sebagai ibu tunggal.

“Penghijrahan itu bukan bermaksud saya mahu melupakan arwah suami, tapi berusaha untuk meneruskan kehidupan.

“Maklumlah bergelar ibu tunggal bukan satu perkara yang mudah, banyak cabaran yang perlu saya tangani sebaiknya.

“Apatah lagi saya mempunyai anak kecil yang perlu dijaga,” cerita Norfazila kepada Malaysia Tribune.

Di sebalik kepayahan mengurus rumah tangga sendirian, wanita itu menyimpan tekad yang tidak pernah padam untuk mencapai cita-cita zaman remaja meraih ijazah doktor falsafah (PhD).

Ilmu sebagai cahaya

Pada tahun 2015, Norfazila memilih jalan yang lebih berani dengan mendaftar pengajian Sarjana dalam Pengurusan Pendidikan di Open University Malaysia (OUM).

Setahun kemudian beliau bergraduasi, membuktikan bahawa kehilangan suami bukan penamat bagi seorang wanita yang berjiwa besar.

Tidak berhenti di situ, pada 2017 Norfazila menyambung pula pengajian PhD dalam bidang Pendidikan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Dr Norfazila
Norfazila bersama rakan seperjuangan yang berjaya meraih PhD pada majlis konvokesyen di UniSZA pada 2 November lalu.

Di saat ramai merasakan PhD adalah perjalanan panjang dan memenatkan, beliau menghadapinya dengan tenang sebagai wanita, guru, pelajar dan ibu kepada seorang anak yang sedang membesar.

“Saya hanya mahu jadi contoh kepada anak saya. Itu yang menjadi kekuatan buat saya meneruskan pengajian,” jelasnya.

Sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Sri Suria 2, Tanah Merah, Kelantan, jadual kehidupan Norfazila sangat padat.

Tanggungjawab di sekolah bertambah besar apabila beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Namun, apa jua kepenatan dan tekanan tidak pernah memadamkan niat tulusnya yang satu itu.

“Saya sambung belajar sampai PhD kerana saya mahu jadi idola kepada anak sendiri.

“Seandainya di Malaysia ada lagi tahap pendidikan lebih tinggi, mungkin saya akan sambung lagi,” tegasnya.

Bagi Norfazila, ilmu bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi amanah dan cinta yang tak bertepi.

Setiap kali menghadiri seminar, majlis akademik dan program universiti, anaknya sentiasa setia di sisi.

Dr Norfazila
Bersama anak tunggalnya, Nur Aina Balqis yang sentiasa menemani perjalanan kehidupan Dr Norfazila.

Malah, semua yuran pengajian pula dibiayai sepenuhnya daripada wang sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah sentiasa ada. Saya percaya ia juga mungkin berkat menjaga anak kami yang kehilangan ayah sejak bayi.

“Disebabkan itulah saya tak pernah meninggalkan Nur Aina Balqis. Ke mana-mana pun, dia pasti akan saya bawa sebagai peneman,” ujarnya lagi.

Ujian sentiasa datang, namun kita ada Tuhan

Pernah satu ketika, di pertengahan pengajian, penyelia beliau terpaksa menamatkan tugas kerana bersara wajib sekali gus memaksa Norfazila berurusan dengan penyelia baharu.

Namun bagi Norfazila, segala usaha yang telah dimulakan perlu diteruskan biar apa sekalipun cabarannya.

Akhirnya, menjelang Konvokesyen UniSZA ke-17, beliau berjaya menjalani viva, membuat pembetulan tesis dalam tempoh kurang sebulan dan lulus tepat pada masanya untuk sidang konvokesyen tahun ini.

Penantian selama 8 tahun itu berakhir pada 2 November 2025, satu hari yang penuh makna dan mengubah segalanya.

Kejayaan peribadi pada usia 40 tahun

Berdiri di pentas konvokesyen dengan jubah dan topi konvo tersarung, Norfazila hampir tidak percaya apa yang dicapai dirinya.

Daripada seorang wanita yang pernah merasakan hidupnya hancur akibat kehilangan insan tersayang, kini bergelar Dr Norfazila pada usia 40 tahun.

Dr Norfazila
Norfazila bersama kedua ibu bapa dan anaknya yang menjadi kekuatan buatnya meneruskan kehidupan.

Ijazah itu dihadiahkan buat kedua ibu bapanya, anak kesayangannya dan seluruh masyarakat dengan satu tekad.

“Biarlah ilmu yang kita ada bermanfaat buat orang lain. Seperti cogan kata UniSZA, ilmu demi faedah insan. Saya hadiahkan PhD ini untuk ummah,” ungkapnya penuh makna.

Menyelusuri perjalanan Norfazila mengingatkan kita bahawa setiap wanita sebenarnya memiliki kekuatan yang cukup luar biasa.

Ujiannya mungkin tidak sama dengan orang lain. Jatuhnya mungkin lebih dalam. Namun bangunnya lebih gagah daripada yang disangkakan.

Dr Norfazila
Kejayaan Norfazila mampu menjadi inspirasi buat wanita di luar sana agar tidak rebah jika berdepan ujian kehilangan suami tercinta.

“Sebagai ibu tunggal, saya sendiri melalui betapa sukarnya mengurus rumah tangga, melakukan kerja hakiki dan pengajian serentak.

“Tapi jangan pernah berhenti tatkala diri merasa kepenatan. Sebaliknya mohon pada Allah agar dikurniakan kekuatan dan semangat dalam menempuhi kehidupan mendatang.

“Yakin dan percayalah bahawa di sebalik musibah, pasti terselit hikmah yang indah kerana Allah sesekali tidak pernah menzalimi hamba-Nya,” ujar Norfazila.

Kisah beliau adalah bukti bahawa kehilangan bukan pengakhiran hidup tetapi pintu kepada perjalanan yang lebih bermakna.

Dan bagi setiap wanita di luar sana yang sedang diuji ingatlah, anda juga mampu bangkit dan mampu mencipta kejayaan yang diimpikan.

Dr Norfazila
Gambar kenangan Norfazila bersama arwah suaminya, Mohamad Razak Mohd@Abdullah yang merupakan anggota tentera dan anak mereka seminggu sebelum Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button