Terengganu negeri paling bahagia
PUTRAJAYA – Terengganu dinobatkan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kejayaan itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia, sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan sosial rakyat yang tinggi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, Johor muncul di tempat kedua dengan skor 8.08, manakala Negeri Sembilan ketiga dengan 8.01.
Menurut beliau, Kluang di Johor mencatatkan skor kebahagiaan tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50).
“Sebanyak 36 daerah di seluruh negara direkodkan berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau menjelaskan, laporan MHI 2024 diterbitkan buat pertama kali secara terperinci hingga ke peringkat negeri dan daerah bagi membolehkan penilaian kebahagiaan dilakukan secara lebih bersasar berpandukan realiti setempat.
“MHI 2024 dibangunkan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
“Sebanyak 94 indikator dirangkumkan kepada 13 komponen kebahagiaan, menjadikan indeks ini alat statistik sosial yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam menilai kualiti hidup rakyat,” jelasnya.
Suara Rakyat Terengganu
Seorang penjawat awam di Kuala Terengganu, Noraini Ismail, 35, berkata pencapaian itu tidak menghairankan kerana rakyat negeri tersebut menikmati suasana kehidupan yang lebih tenang berbanding bandar besar.
“Di sini kos sara hidup lebih terkawal, jalan pun tidak sesak. Hidup sederhana tapi cukup selesa, itu yang buat hati rasa lapang,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kecil di Dungun, Ahmad Fauzi Ramli, 42, berkata faktor kekeluargaan yang rapat juga menyumbang kepada rasa bahagia.
“Kebanyakan orang di kampung saling mengenali, kalau susah senang, kita tolong-menolong. Itu yang buat hidup di Terengganu lebih bermakna,” ujarnya.
Seorang guru muda, Mohd. Hakim Azman, 28, pula berpendapat, selain keharmonian masyarakat, keindahan alam semula jadi di Terengganu seperti pantai dan pulau turut memberi ketenangan jiwa kepada penduduk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








