TEPAT akui kuil dibina di tapak milik Yayasan Kubra, namun mereka tiada hak robohkan secara sepihak – dakwa Arun
KUALA LUMPUR – Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (TEPAT) memandang serius tindakan perobohan sepihak terhadap Kuil Utchimalai Muneswaran di Rawang yang telah dilakukan oleh sekumpulan aktivis tanpa sebarang Perintah Mahkamah yang sah.
Pengerusi TEPAT, Arun Dorasamy mendakwa, kuil itu merupakan tempat ibadat yang telah lama wujud dan digunakan secara aman oleh komuniti Hindu dan tindakan merobohkan struktur tersebut secara paksa merupakan satu perbuatan yang melanggar undang-undang jenayah.
“Di bawah undang-undang Malaysia, tiada individu persendirian, pertubuhan, aktivis atau pemilik tanah mempunyai kuasa untuk merobohkan sesuatu struktur, apatah lagi tempat ibadat, tanpa melalui proses undang-undang yang sah.
“Sebarang tindakan “self-help” oleh pihak persendirian adalah menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan jenayah.
“Walaupun tanah tersebut didakwa dimiliki oleh Yayasan Kubra, hak milik tanah tidak memberi kuasa kepada pemilik atau mana-mana pihak ketiga untuk merobohkan struktur secara sendiri tanpa Perintah Mahkamah dan pelaksanaan oleh pegawai penguat kuasa yang sah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu Arun menggesa supaya individu terlibat disiasat atas kesalahan jenayah kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat.
“Walaupun Yayasan Kubra adalah pemilik berdaftar tanah tersebut, mereka tidak mempunyai hak untuk merobohkan struktur secara sendiri tanpa Perintah Mahkamah.
“Di bawah prinsip undang-undang Malaysia dan Specific Relief Act 1950, sebarang pengusiran atau perobohan mesti dilakukan melalui proses mahkamah dan dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa yang sah, bukan oleh individu persendirian atau aktivis,” dakwanya.
Mengulas lanjut dakwanya, sejak tahun 2021, pihak jawatankuasa kuil telah terlibat secara aktif dalam rundingan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pemimpin politik, dan
pihak berkuasa negeri untuk memindahkan kuil secara aman ke tapak gantian yang dipersetujui bersama.
“Ini mewujudkan “legitimate expectation” di sisi undang-undang pentadbiran bahawa sebarang tindakan hanya akan diambil melalui proses sah dan persetujuan bersama.
“Perobohan secara unilateral semasa rundingan masih berjalan adalah satu tindakan yang tidak sah, tidak beretika, dan melanggar prinsip keadilan semula jadi.
Sementara itu Arun turut menuntut supaya proses pemindahan ke tapak gantian dibuat segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








