Penduduk Taman Dato Harun bantah sebuah kuil dibina di kawasan lebih 90 peratus penduduk Islam
KUALA LUMPUR – Penduduk di Taman Dato Harun di sini membantah pembinaan sebuah rumah ibadat bukan Islam di kawasan tersebut yang dibuat tanpa sebarang konsultasi atau rundingan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya hanya menyedari terdapat satu kelulusan pemindahan rumah ibadat itu telah diberi oleh kerajaan negeri kepada Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang di atas tanah berhadapan D’Buana Event Hall.
Katanya, kelulusan itu telah dibuat tanpa sebarang konsultasi atau rundingan, sama ada dengannya atau penduduk setempat yang mana majoriti melebihi 90 peratus berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Penduduk tidak pernah dirunding, wakil rakyat tidak dimaklumkan dan keputusan dibuat secara senyap. Ini isu sensitiviti komuniti dan keharmonian, bukan isu kebebasan beragama.
“Keputusan sepenting dan sebesar ini tidak boleh dibuat secara unilateral. Maka atas kesedaran itu, saya selaku wakil rakyat di sini akan memanggil satu sidang media bagi menyatakan bantahan dan menuntut kerajaan negeri untuk membatalkan segera kelulusan yang diberikan tanpa sebarang proses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu sidang media akan diadakan esok di hadapan D’Buana Hall, Jalan PJS 2/18A bagi membantah pembinaan tersebut.
“Saya menyeru penduduk Taman Dato Harun dan Taman Medan, pimpinan komuniti dan semua yang prihatin untuk hadir memberi sokongan dan bersama-sama bersuara.
“Diam hari ini bermakna kita setuju dengan keputusan senyap. Bersuara hari ini adalah mempertahankan hak dan keharmonian kawasan kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








