BERITA SEMASA

Isu laluan kuil Sri Maha Mariamman selesai, jalan bernilai RM3.3 juta bakal dibina segera

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor hari ini mencapai keputusan muktamad berhubung isu laluan masuk ke Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang, yang telah berlarutan sejak tahun 2009 berikutan bantahan penduduk setempat berkaitan aspek keselamatan, kesesakan lalu lintas, kebersihan dan keharmonian komuniti.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor Papparaidu Veraman berkata, walaupun tapak kuil berkenaan telah didaftarkan bagi kegunaan “kuil” sejak tahun 1988, pelaksanaan pembinaannya sering tertangguh akibat isu akses laluan serta ketidakpatuhan terhadap syarat kebenaran merancang yang telah ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, kelulusan perancangan sedia ada hanya membenarkan laluan masuk ke tapak kuil melalui rezab jalan dari Jalan Sungai Long.

“Cadangan menggunakan jalan perumahan sedia ada serta pembinaan jalan sementara telah ditolak kerana berpotensi mencetuskan bantahan penduduk dan menimbulkan isu keselamatan awam.

“Sebagai penyelesaian muktamad, pembinaan sebuah jalan baharu dari Jalan Sungai Long selebar tujuh meter dengan anggaran panjang kira-kira 383 meter telah dicadangkan, melibatkan kos sekitar RM3.3 juta.

“Cadangan ini dilihat sebagai langkah paling sesuai bagi mengelakkan konflik berterusan, memastikan pematuhan undang-undang serta menyokong pembangunan terancang kawasan tersebut pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut memutuskan bahawa pemilik-pemilik tanah yang terlibat dalam pembangunan kawasan berkenaan akan menyumbang kepada kos pembinaan jalan tersebut.

Katanya, langkah itu disifatkan sebagai penting bagi menjamin keharmonian antara penduduk Taman Desa Baru, Taman Koperasi Cuepacs dan pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor pada pagi tadi telah mengesyorkan agar pembinaan jalan baharu ini diluluskan dan dilaksanakan dengan segera.

“Mesyuarat turut bersetuju membenarkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap binaan tanpa kelulusan di rezab jalan serta menetapkan mekanisme sumbangan kos oleh pemilik tanah lain yang akan menggunakan jalan tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, kerajaan negeri turut memaklumkan bahawa tapak Tanah Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, yang telah digazetkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), akan dibangunkan dengan segera bagi membolehkan kerja-kerja berkaitan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

Menurutnya, perkembangan itu susulan persetujuan tiga rumah ibadat bukan Islam yang terlibat, iaitu Sri Maha Mariamman Desa Perangsang, Sri Kottai Maduraiveeran Taman Desa Ria dan Persatuan Penganut Sikh Petaling Tin, untuk menerima tawaran berpindah ke kawasan rizab yang telah digazetkan.

“Persetujuan tersebut dicapai sebagai langkah memelihara keharmonian antara kaum dan agama di negeri Selangor.

“Kerajaan negeri berharap semua pihak dapat menghormati keputusan muktamad yang telah dicapai, yang bersifat menyeluruh dan berimbang demi kepentingan bersama serta kestabilan sosial masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button