Gagal kosongkan tapak, pihak kuil berisiko didakwa
RAWANG – Insiden perobohan Kuil Utchimalai Muneswaran di sini disifatkan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila pihak kuil kini berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengosongkan tapak berkenaan.
Pengerusi Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (TEPAT), Arun Dorasamy berkata, meskipun tangkapan telah dibuat terhadap individu yang didakwa merobohkan kuil tersebut, sehingga kini tiada sebarang petunjuk bahawa pertuduhan akan dikenakan.
“Sehingga kini, tiada perkembangan ketara dalam siasatan oleh IPD Gombak, mahupun sebarang petunjuk bahawa pertuduhan akan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab merobohkan kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan polis difahamkan bertindak sebagai perantara dalam satu penyelesaian antara jawatankuasa kuil dan pemilik tanah semasa yang menetapkan supaya tapak itu dikosongkan selewat-lewatnya hari ini.
Lebih membimbangkan, dakwanya, terdapat ugutan bahawa kegagalan mengosongkan tapak berkenaan boleh menyebabkan tindakan diambil terhadap Pengerusi Kuil di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas dakwaan pencerobohan jenayah.
“Walhal kuil tersebut telah wujud jauh sebelum pengalienasian tanah pada tahun 2018 dan telah beroperasi seawal tahun 1995 ketika kawasan itu masih merupakan estet getah Mandamus,” katanya.
Arun sebelum ini memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan perobohan sepihak terhadap Kuil Utchimalai Muneswaran yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan aktivis tanpa sebarang Perintah Mahkamah yang sah.
Beliau mendakwa, kuil berkenaan merupakan tempat ibadat yang telah lama wujud dan digunakan secara aman oleh komuniti Hindu, dan tindakan merobohkan struktur tersebut secara paksa merupakan satu perbuatan yang melanggar undang-undang jenayah.
Dakwanya lagi, sejak 2021, jawatankuasa kuil terlibat secara aktif dalam rundingan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pemimpin politik serta pihak berkuasa negeri bagi memindahkan kuil itu secara aman ke tapak gantian yang dipersetujui bersama.
Susulan itu, katanya, TEPAT akan membuat satu laporan polis serta mendedahkan beberapa fakta penting dan isu berkepentingan awam berhubung kemungkinan berlakunya penguatkuasaan terpilih serta penyalahgunaan peruntukan jenayah dalam kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








