BERITA SEMASA

Jalan di lokasi terletaknya lencongan disebabkan kuil bukan di bawah seliaan JKR

KLANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan isu lencongan jalan disebabkan binaan tokong dan kuil di Jalan Meru di sini bukan di bawah seliaannya.

Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak berkata, jalan tersebut masih belum diserahkan kepada pihak JKR daripada pihak LRT3 untuk penyenggaraan.

“Laluan ini telah diserahkan penyenggaraan ke pihak LRT3 pada tahun 2018 bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan LRT3 dan naiktaraf jalan.

“Pada peringkat perancangan, terdapat reka bentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (hadapan) dan kuil (belakang) tersebut. Tokong dan kuil tersebut berada dalam Right of Way (ROW) LRT3.

“Walaubagaimanapun pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan terdapat aduan daripada orang awam, katanya, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan JKR Klang telah turun padang pada 13 Mei lalu bagi meneliti isu itu kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu katanya, penerimaan jalan itu oleh JKR hanya boleh dilaksanakan setelah audit kriteria penerimaan jalan dilaksanakan oleh pihak Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Semalam MBDK mengesahkan isu lencongan kuil dan jalan di Jalan Meru telah ditangani dengan tindakan lanjut sedang diambil bersama agensi berkaitan.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran di Facebook oleh seorang pengguna bernama Tamim Dahri yang mempersoalkan kedudukan binaan tersebut serta mendakwa wujud isu pampasan tanah dan penguatkuasaan undang-undang.

Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk keengganan pihak tertentu berpindah selepas menerima pampasan, serta wujudnya binaan baharu di atas tanah yang didakwa telah diberi pampasan.
MBDK memaklumkan semakan yang dilakukan oleh Jabatan Kejuruteraan mendapati kedudukan sebuah kuil di kawasan berkenaan memang melencong daripada laluan asal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button