Serangan udara IDF mengenai kawasan berhampiran pos MALBATT di selatan Lubnan
KUALA LUMPUR – Satu serangan udara oleh tentera Israel dilaporkan berlaku berhampiran kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada awal pagi ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.35 pagi waktu tempatan semalam apabila satu serangan udara dilaporkan berlaku berhampiran pos kawalan pasukan berkenaan.
Menurutnya, serangan tersebut berlaku pada jarak kira-kira 100 hingga 200 meter dari penempatan anggota MALBATT 850-13 dan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang merentasi Sungai Litani.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada jam 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di pos kawalan itu diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) untuk berundur sebagai langkah keselamatan.
“Pasukan berkenaan kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat kira-kira jam 4.12 pagi waktu tempatan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota MALBATT mahupun Angkatan Tentera Lubnan dan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan terus berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan menegaskan bahawa keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi serta bekerjasama rapat dengan pihak United Nations Interim Force in Lebanon dan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








