MALBATT sentiasa siap siaga, berwaspada hadapi sebarang kemungkinan
CYBERJAYA – Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan sentiasa siap siaga dan berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.
MALBATT 850-13 satu dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, tahap kesediaan anggota pasukan terus dipertingkatkan merangkumi aspek keselamatan, kesiagaan operasi, logistik serta koordinasi bersama pihak berkepentingan.
Kata kenyataan itu lagi, setiap anggota dilatih untuk bertindak secara profesional dan berdisiplin dalam apa jua situasi selaras dengan prinsip operasi pengaman di bawah panji UNIFIL.
“Persiapan ini bukan sahaja melibatkan aspek taktikal, malah turut merangkumi kesiapan mental, fizikal dan kerohanian anggota dalam menghadapi cabaran di medan misi,” kata kenyataan itu, hari ini.
MALBATT 850-13 memaklumkan pendekatan tersebut mencerminkan komitmen pasukan itu dalam memastikan keselamatan anggota, melindungi komuniti setempat serta mengekalkan kestabilan di kawasan operasi.
“Persiapan kesiagaan yang merangkumi aspek Gerakan, Tadbir dan Logistik (G, A dan Q) dilaksanakan secara berkala oleh Timbalan Komander MALBATT 850-13 Lt Kol Zain Azrai Karia, Pegawai Staf 1 Gerak Lt Kol Mohd Farid Ahmad, Pegawai Staf 1 Latih Kdr Rusmanizam Ismail serta Pegawai Staf 1 Logistik Lt Kol Mohd Suhaimi Abdul Samat.
“Matlamat utama persiapan bagi memastikan semua warga MALBATT 850-13 sentiasa memahami dan mematuhi tindakan yang perlu dilaksanakan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan selain membantu mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pasukan menghadapi situasi kecemasan sekali gus menyokong pelan kontingensi MALBATT 850-13,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu hari ini, UNIFIL memaklumkan tiga anggota pengamannya cedera apabila kem mereka di Al-Qawza di barat daya Lubnan terkena bedilan tentera rejim zionis.
Walaupun UNIFIL tidak memaklumkan kontinjen terlibat, kejadian tersebut disahkan oleh Kementerian Pertahanan Ghana dalam satu kenyataan berasingan.
Menurut kementerian tersebut, salah seorang daripada anggotanya parah manakala dua lagi cedera ringan dalam kejadian tersebut.
Situasi di negara tersebut makin memuncak apabila kumpulan pejuang Hizbollah meningkatkan serangan mereka ke atas kedudukan tentera zionis susulan serangan udara negara haram tersebut ke atas Iran bersama sekutunya, Amerika Syarikat sejak Sabtu lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







