POLITIK

Rodziah tegas masih Ahli Parlimen Ampang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau masih memegang jawatan wakil rakyat kawasan itu walaupun tidak lagi berada dalam barisan pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rodziah berkata, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli PKR Cabang Ampang.

“Tiba-tiba ramai pula hantar mesej kepada saya tentang berita semalam. Jawapan saya, saya bukan lagi pimpinan tertinggi, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku. Mohon tanya mereka.

“Yang jelas, saya masih Ahli Parlimen Ampang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonannya untuk menyertai PKR telah diterima dua minggu lalu dan beliau kini sah menjadi ahli PKR Cabang Ampang.

Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang memaklumkan permohonan tersebut diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.

Tengku Zafrul sebelum itu mengumumkan keluar daripada UMNO pada 30 Mei lalu dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Pengumuman itu mencetuskan spekulasi kemungkinan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi membolehkan beliau bertanding kerusi Parlimen memandangkan tempoh lantikan sebagai Senator akan tamat hujung tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button