Rizab antarabangsa Malaysia catat paras tertinggi dalam 11 tahun
KUALA LUMPUR – Rizab antarabangsa Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun pada September 2025, didorong oleh peningkatan pegangan emas negara, menurut data terkini dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM berkata, jumlah rizab antarabangsa negara setakat 30 September 2025 direkodkan sebanyak AS$123.6 bilion (RM590.5 bilion), berbanding AS$122.8 bilion (RM586.7 bilion) dua minggu sebelumnya.
“Paras rizab terkini telah mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.
“Kenaikan rizab tersebut, bersama pengukuhan nilai ringgit, dilihat mampu menyediakan penampan lebih besar kepada Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan aliran keluar modal secara mendadak,” memetik laporan The Edge .
Setakat ini, ringgit dilaporkan mengukuh lebih enam peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sejak awal tahun.
BNM turut berkata, rizab semasa mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta meliputi 90 peratus hutang luar jangka pendek negara.
“Hutang luar jangka pendek merujuk kepada pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang setahun atau kurang, kebanyakannya dibuat oleh bank-bank tempatan bagi keperluan kecairan mata wang asing serta syarikat multinasional.
“Pinjaman tersebut boleh diselesaikan melalui pegangan aset luar pihak berkenaan dan tidak menimbulkan tuntutan terhadap rizab antarabangsa negara,” katanya lagi.
Daripada jumlah keseluruhan rizab antarabangsa itu, rizab mata wang asing meningkat kepada AS$109.3 bilion (RM522.1 bilion) berbanding AS$109.2 bilion (RM521.6 bilion) sebelum ini.
Kedudukan rizab Malaysia dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula kekal pada AS$1.3 bilion (RM6.2 bilion), manakala aset hak pengeluaran khas (SDR) yang diperuntukkan oleh IMF kekal pada AS$5.9 bilion (RM28.2 bilion).
Dalam masa sama, pegangan emas BNM meningkat kepada AS$4.8 bilion (RM22.9 bilion), manakala aset rizab lain kekal pada AS$2.3 bilion (RM11 bilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








