RIBAT simbol kejayaan teknologi pertahanan tempatan
Pelancaran bersejarah itu menandakan kemunculan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara, selain menjadi pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa
LANGKAWI – Malaysia melakar sejarah baharu dalam sektor pertahanan melalui penampilan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle – HMLTV) atau RIBAT hasil ciptaan syarikat tempatan.
Perasmian RIBAT yang dibina sepenuhnya oleh Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
Pelancaran bersejarah itu menandakan kemunculan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara, selain menjadi pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Penamaan rasmi RIBAT oleh Perdana Menteri membawa nilai simbolik tinggi yang menggambarkan semangat berkawal mempertahankan tanah air yang didasari oleh iman, patriotisme dan kemajuan teknologi.
BACA : LIMA’25: Penanda aras baharu kejayaan Malaysia di pentas pertahanan global
Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT bukan sekadar pencapaian teknologi, tetapi juga manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pertahanan nasional yang berdikari dan berimpak tinggi.
“RIBAT membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi juga pencipta teknologi pertahanan strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dibangunkan oleh jurutera tempatan di kemudahan kejuruteraan MILDEF di Seremban dan Sepang, RIBAT dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk pelbagai misi seperti rondaan, konvoi serta operasi khas.
BACA : LIMA’25: Perolehan kapal MPMS perkukuh kesiapsiagaan Maritim Malaysia
Lebih membanggakan, MILDEF turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD sekali gus membuka laluan kepada kerjasama eksport, pemindahan teknologi dan integrasi sistem pertahanan serantau.
Turut dimeterai dalam majlis yang sama adalah Memorandum Perjanjian (MoA) antara MILDEF dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

Kerjasama itu memfokuskan pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal baharu yang bakal direka bentuk sepenuhnya dalam negara.
Mohd Nizam menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu langkah strategik ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan di rantau Asia Tenggara.
Sebagai tambahan kepada pencapaian itu, MILDEF juga dijangka memeterai kontrak pembekalan 136 unit kenderaan perisai Tarantula kepada Tentera Darat Diraja Malaysia.
Langkah itu mengukuhkan lagi keyakinan MINDEF terhadap keupayaan MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar mengikut spesifikasi dan jadual kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








