LIMA’25 penanda aras baharu kejayaan Malaysia di pentas pertahanan global
LANGKAWI – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bukan sekadar acara pertahanan sebaliknya menjadi penanda aras baharu dalam landskap keselamatan dan teknologi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan penganjuran edisi kali ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik bagi inovasi pertahanan, aeroangkasa dan kerjasama antarabangsa.
Dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung malam tadi, beliau menyantuni para petugas, rakan strategik serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam penganjuran acara berprestij ini.

“Salut saya kepada pasukan Kementerian Pertahanan dan semua agensi yang terlibat atas kejayaan penganjuran edisi kali ini, yang bukan sahaja mengatasi pencapaian edisi-edisi terdahulu, malah menjadi penanda aras baharu bagi LIMA sebagai platform pertahanan dan teknologi global,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang bertanggungjawab, khususnya dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau strategik ini dari Lautan Hindi, melalui Selat Melaka hingga ke Laut China Selatan.
Beliau menyatakan bahawa laluan ini kekal penting untuk perdagangan antarabangsa dan mesti dilindungi daripada sebarang ancaman.
“Penyertaan aktif negara-negara jiran dan rakan strategik seperti China, India, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat serta Eropah pada LIMA’25 adalah bukti sokongan dan keyakinan global terhadap peranan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang bermakna.
“Tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’ amat bertepatan dengan keperluan semasa. Ia menzahirkan kepentingan inovasi teknologi termasuk dalam bidang pertahanan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan industri aeroangkasa yang menjadi pemacu utama ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.
BACA : LIMA’25: Rosoboronexport bawa pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57E
Tambah beliau, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperluas latihan ketenteraan bersama dan menyokong agenda global berkaitan wanita, kesejahteraan dan keselamatan.
“LIMA’25 bukan sahaja mencerminkan kekuatan pertahanan negara, tetapi juga iltizam kita untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menjamin keamanan dan kemakmuran serantau serta dunia sejagat,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






