BERITA SEMASAPMX

RM8.13 bilion potensi pelaburan hasil lawatan PM ke Itali

KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali membuahkan hasil memberangsangkan apabila Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion dalam pelbagai sektor strategik.

Pelaburan berkenaan meliputi industri petrokimia, jentera dan peralatan, selain turut melibatkan sektor elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas.

Anwar berkata, dalam masa sama, potensi eksport yang dijana mencecah RM425 juta, merangkumi produk oleokimia, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan dan produk makanan.

Perkembangan itu diumumkan Anwar dalam sidang media sempena lawatan tersebut, yang turut menyaksikan sesi mesyuarat dua hala bersama 41 syarikat dari Itali termasuk 23 syarikat sektor pembuatan, sembilan dalam bidang perkhidmatan, dua syarikat perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.

Anwar Ibrahim menyifatkan kesediaan Itali memperkukuh hubungan dua hala sebagai satu petanda positif bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN secara keseluruhan.

Menurut Perdana Menteri, lawatan itu turut membuka peluang kerjasama baharu antara PETRONAS dan syarikat tenaga Itali, ENI, khususnya dalam bidang biokimia dan teknologi penangkapan, penggunaan serta penyimpanan karbon (CCUS).

“Satu projek besar bakal dilancarkan tidak lama lagi yang melibatkan CCUS dan biokimia. Ia disertai oleh syarikat dari Jepun dan juga Indonesia melalui Pertamina, menjadikan inisiatif ini antara yang terbesar di rantau ini,” kata beliau.

Anwar turut menyifatkan kesediaan Itali memperkukuh hubungan dua hala sebagai satu petanda positif bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN secara keseluruhan.

Menurutnya, Itali melihat ASEAN sebagai pemacu utama pertumbuhan rantau ini dan Malaysia terus berada dalam radar pelaburan negara-negara Eropah.

Lawatan rasmi itu berlangsung atas jemputan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan disertai beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Lawatan tersebut secara rasmi berakhir hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button