Projek Terminal 3 Pelabuhan Klang akan digerakkan secepat mungkin – PM
PUTRAJAYA – Projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey yang sekian lama dirancang tidak wajar lagi ditangguh susulan kepentingannya kepada ekonomi negara, kata
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya pagi tadi merumuskan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk memulakan pelaksanaan projek berkenaan secepat mungkin demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
“Projek ini telah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan. Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mencapai kesepakatan untuk menggerakkan pembangunannya sesegera mungkin supaya manfaat pembangunan ini dapat dinikmati rakyat dan membuka peluang ekonomi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Perdana Menteri, semua agensi terlibat telah diarahkan supaya bertindak pantas dan memastikan Terminal 3 dijadikan model baharu pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti.
Beliau turut menegaskan komitmen terhadap pembangunan ekonomi tidak bermakna kepentingan komuniti setempat diabaikan, sebaliknya aspek sosial dan alam sekitar tetap diberi keutamaan.
“Dalam melaksanakan pembangunan ini, kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem akan terus dipelihara.
“Pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam, kerana di situlah terletaknya makna kemajuan yang sebenar dan berkekalan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














