Remaja perempuan maut, SUV dipandu bapa bertembung lori muatan sawit
JERANTUT – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander yang dinaikinya bersama keluarga bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 8 Jalan Jerantut-Tembeling, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azahari Muhktar berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi ketika mangsa, Aimy Nur Batrisyia Ahmad Sobri menaiki kereta dipandu bapanya bersama ibu dan dua adik dalam perjalanan dari bandar Jerantut menuju ke Kuala Tembeling.

“Apabila sampai di lokasi, lori dari arah bertentangan yang melalui selekoh menuruni bukit dipercayai terbabas ke laluan lawan arah sebelum bertembung dengan SUV dinaiki mangsa.
“Akibat kemalangan, seorang penumpang remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta tiga lagi penumpang SUV mengalami kecederaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 35 tahun turut mengalami kecederaan ringan.
Menurut Azahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat manakala semua mangsa cedera dirawat di hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati lokasi kemalangan merupakan jalan berbukit dan berselekoh, manakala ketika kejadian cuaca baik dengan pencahayaan terang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














