JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas Simpang Renggam: Remaja ditahan semula bagi siasatan membunuh

JOHOR BAHRU – Remaja lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes memandu secara melulu sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan di Simpang Renggam, Isnin lalu, ditahan semula hari ini untuk siasatan membunuh.

Penahanan semula itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh.

“Bagi tangkapan sebelum ini, (suspek) diberikan jaminan polis (selepas selesai tempoh reman).

“Reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula akan dibuat di Mahkamah Kluang, esok.

“Bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 masih diterus berdasarkan rakaman video tular yang menunjukkan kenderaan terbabit dipandu laju dan melulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu remaja berusia 19 tahun itu direman dua hari bermula kelmarin sebelum disambung sehari lagi hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebelum ini, Bahrin dilaporkan berkata, nahas di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam itu menyebabkan empat sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menaiki Toyota Vios, maut di lokasi kejadian.

Remaja itu disyaki memandu kereta Mercedes Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama sebuah BMW 530e dipandu abangnya berusia 22 tahun yang turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kemalangan berkenaan.

Insiden berlaku apabila BMW 530e terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button