
Pulau Sebatik diisytihar bencana kemarau
TAWAU – Kawasan Pulau Sebatik diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau susulan cuaca kering berpanjangan yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau (JPBD) selepas meneliti laporan serta maklumat lapangan yang mengesahkan situasi kemarau di kawasan berkenaan semakin serius.
Presiden Majlis Perbandaran Tawau yang juga Pengerusi JPBD Tawau, Joseph Pang berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.
“Pemantauan mendapati Pulau Sebatik kini berdepan keadaan cuaca kering berpanjangan yang memberi kesan kepada sumber air serta kehidupan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandi berkata, pengisytiharan darurat itu membolehkan tindakan segera dan lebih menyeluruh dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan bekalan air dan keperluan asas penduduk terjejas dapat disalurkan dengan segera, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Hasil mesyuarat hari ini, krisis ini diisytiharkan sebagai situasi darurat bagi membolehkan tindakan segera diambil demi memudahkan urusan harian penduduk,” katanya lagi.
Pengisytiharan tersebut membolehkan penyelarasan bantuan, pemantauan bekalan air serta pelaksanaan langkah intervensi oleh agensi berkaitan dipertingkatkan bagi mengurangkan impak kemarau terhadap penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








