Kemarau jejas hasil padi hingga 30 peratus – MADA
ALOR SETAR – Kemarau berpanjangan dan cuaca panas melampau dijangka menjejaskan hasil padi sehingga 30 peratus, sekali gus memberi kesan kepada sektor pertanian negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Ismail Salleh berkata, suhu tinggi memberi impak langsung terhadap proses penting dalam pembentukan hasil padi, khususnya pendebungaan.
Menurutnya, suhu ekstrem melebihi 40 darjah Celsius boleh mengganggu proses tersebut sehingga menyebabkan pengisian padi tidak sempurna.
“Jika suhu sekitar 37 hingga 38 darjah Celsius, tanaman padi masih mampu bertahan. Namun apabila mencecah 40 hingga 41 darjah Celsius, ia mula menjejaskan pendebungaan dan menghasilkan padi hampa.
“Keadaan ini boleh menyebabkan penurunan hasil antara 20 hingga 30 peratus,” memetik BuletinTv3 online.
Beliau berkata, keadaan cuaca panas berpanjangan menyebabkan tanah menjadi keras dan kurang subur, sekali gus memberi cabaran tambahan kepada pesawah.
Dalam masa sama, paras air di Empangan Muda kini berada pada tahap rendah iaitu sekitar 8.28 peratus berikutan ketiadaan hujan di kawasan tadahan.
“Situasi itu menjejaskan bekalan air untuk pengairan sawah apabila air sedia ada lebih tertumpu kepada keperluan domestik dan industri melalui loji rawatan air,” katanya lagi.
Susulan itu, pesawah dijangka menggunakan kaedah tabur terus kering (TTK) bagi meneruskan penanaman musim satu 2026 yang dijangka bermula April ini.
Kaedah tersebut melibatkan proses membajak tanah, menabur benih padi dan memadatkan tanah sebelum menunggu hujan atau embun bagi membolehkan percambahan berlaku.
Beliau turut berkata, situasi kemarau ini perlu diberi perhatian serius kerana memberi kesan langsung kepada pengeluaran padi dan bekalan makanan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








