Polis masih buru suspek rompakan di Genting Highlands
KUANTAN – Polis masih meneruskan usaha memburu tiga suspek yang melarikan barang kemas bernilai lebih RM1.7 juta dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, Isnin lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek yang terlibat, lapor SH Online.
BACA JUGA:
Polis Pahang sahkan rompakan di pusat beli belah Genting Highlands
“Kes Genting Highlands itu masih lagi dalam siasatan pihak kami dan apa-apa maklumat terbaru yang kami dapatkan nanti kami akan maklum semula.
“Masa sekarang masih lagi dalam peringkat siasatan kami untuk mengesan suspek yang terdapat,” katanya selepas program amal konvoi bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Merdeka ke-69 ke Kontijen Pahang di Dewan Badminton Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.39 pagi Isnin lalu, tiga suspek bersenjatakan kapak dan kuku kambing menyamun sebuah kedai emas di Sky Avenue sebelum melarikan lima bekas mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram (kg).
Ketiga-tiga suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
Susulan kejadian, polis melancarkan Op Tutup pada pukul 12 tengah hari di hari kejadian di sekitar Genting Highlands dan laluan menghala ke Batang Kali, Selangor sebelum ditamatkan pada pukul 4.15 petang, hari yang sama.
Ketika diminta mengulas menegani khabar angin bahawa suspek sudah terlepas, beliau berkata perkara itu tidak boleh dianggap sebagai fakta selagi siasatan masih dijalankan.
“Itu rumours (khabar angin). Seperti yang saya sebut, masih dalam siasatan kami,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








