BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jalan Genting Highlands adalah tanah milikan persendirian – KKR

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan laluan masuk ke Genting Highlands bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak sepenuhnya di atas tanah milikan persendirian.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kegusaran masyarakat, namun bidang kuasa kawal selia laluan tersebut bukan berada di bawah KKR.

“Berdasarkan semakan awal KKR serta maklumat yang diterima, laluan yang dimaksudkan bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.

“Bagaimanapun, aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan seperti ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Perbandaran Bentong.

“Buat masa ini, KKR tidak mempunyai kuasa perundangan atau regulatori ke atas laluan berkenaan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Terdahulu, laporan menyebut Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan mengenakan bayaran kepada kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan dimaklumkan.

Menurut syarikat itu, butiran lengkap caj berkenaan akan diumumkan sebaik sahaja mekanisme pelaksanaannya dimuktamadkan.

Genting Malaysia menjelaskan, caj itu dianggap wajar memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer laluan dan cerun berkenaan telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat sejak tahun 1960-an.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button