Kerajaan belum terima cadangan Genting untuk kenakan caj jalan persendirian
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan belum menerima sebarang kertas cadangan rasmi daripada Genting Malaysia Berhad berhubung cadangannya untuk mengenakan tol atau sebarang bentuk caj ke atas jalan persendirian bagi memasuki kawasan peranginannya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau bersetuju dengan syor timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan semalam, yang berpendapat syarikat itu lebih sesuai mengenakan caj kenderaan bagi laluan persendirian dan bukannya tol.
“Saya belum terima apa-apa (cadangan) dari pihak Genting. Saya boleh bersetuju dengan pandangan beliau sebab apabila (untuk mengenakan) tol ini agak mengelirukan.
“Ini kerana kita (sudah) biasa dengan tol di lebuh raya tol, jadi beliau mengatakan tidak mengatakan (istilah) ‘caj masuk’ ke tempat (peranginan), itu cadangan yang agak baik bagi saya,” katanya.
Alexander berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Genting Malaysia Berhad mahu mengenakan tol ke atas kenderaan yang ke atas kenderaan yang melalui jalan persendiriannya.
Terdahulu, Nanta Linggi merasmikan Townhall 2.0 Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Semalam, Ahmad ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat berkata, bayaran yang dikenakan di Jalan Genting Highlands bukan tol, sebaliknya caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali di kawasan peranginan itu.
Beliau berkata, penggunaan istilah tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan, memandangkan negara sudah mempunyai 33 konsesi tol di lebuh raya sedia ada.
Beliau turut berpandangan, caj kenderaan itu hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan bagi tujuan rekreasi, manakala bagi pekerja dan pemilik tanah serta premis di kawasan berkenaan tidak dikenakan caj.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






