
JKR siapkan 16 fasiliti kesihatan tahun ini
SALAK TINGGI – Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyerahkan sebanyak 16 fasiliti kesihatan yang disiapkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) tahun ini.
Serahan itu termasuk Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) yang berjaya disiapkan sepenuhnya pada 13 Disember lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga hari ini terdapat 150 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dilaksanakan JKR selaku agensi pelaksana dengan kos sebanyak RM14.64 billion.
“Daripada jumlah itu, 36 projek dalam peringkat pra-pembinaan, 62 projek dalam peringkat pembinaan, manakala 52 projek lagi sedang dalam peringkat pasca-pembinaan
sehingga 2024,” kata Alexander.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Penyerahan Projek NCFS kepada KKM, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Alexander menambah, projek ini menggunakan kaedah pelaksanaan secara Reka dan Bina di mana syarikat kontraktor yang dilantik ialah Perwira Indah Jaya Sdn. Bhd., manakala penyelia bagi projek ini ialah Pasukan Projek Persekutuan JKR Selangor dan Pengarah JKR Selangor sebagai Pengarah Projek.
“Bagi projek ini, Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah digunakan sebagai kaedah pembinaan projek ini yang mempunyai skor IBS melebihi 70 peratus bagi menjamin proses pembinaan yang lebih efisien dan berkualiti tinggi.
“Kaedah ini menepati dasar kerajaan bagi meningkatkan penggunaan IBS dalam industri pembinaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manual terutamanya tenaga buruh asing serta meningkatkan ketepatan serta kualiti struktur bangunan yang menyokong kelestarian serta pengurangan kos,” kata Alexander lagi.
Tambahnya, projek ini turut mengaplikasikan elemen kecekapan tenaga sekaligus menyokong kelestarian dan pembangunan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















