BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan pemandu BMW buat aksi ‘drift’ di Genting Highlands

BENTONG – Padah melakukan aksi ‘drift’ berbahaya ala filem perlumbaan jalanan di Genting Highlands, seorang lelaki ditahan polis selepas tindakannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya mengesan satu klip video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada 2 Mac lalu yang memaparkan aksi pemanduan berbahaya tersebut.

Menurut beliau, video berkenaan menunjukkan sebuah kereta jenis BMW 325i dipandu secara melulu dengan melakukan aksi drift ke kiri dan kanan ketika melalui selekoh jalan menuju ke Genting Highlands.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan itu melakukan pusingan secara melulu di selekoh sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penularan video tersebut, polis menjalankan usaha mengesan individu yang terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kira-kira pukul 11 pagi semalam, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun tampil di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bersama kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan manakala kenderaan terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati keputusan negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button